Kekuatan Iman Dalam Menghadapi Kemelut Kehidupan

Posted on 4:06 PM In:
Photobucket

Kehidupan kita secara beransur-ansur akan berubah. Masuk ke alam kerjaya. Ada keluarga dan anak-anak. Kenalan semakin meluas dan pelbagai ragamnya.Keperluan kewangan semakin meningkat. Tanggungjawab semakin berat. Semua pihak mula menuntut sesuatu dari kita; dari ibu bapa,anak-anak, suami atau isteri, majikan, , rakan-rakan, kenalan dan sebagainya. Usia pula semakin menua, sekali gus menjadikan jasad tidak selincah dulu.

Hari-hari yang dilalui diharapkan semakin mudah, tetapi rupa-rupanya ia tidak berlaku sedemikian. Sebaliknya kita semakin susah. Terlalu banyak perkara di dalam kehidupan ini yang menguji dan menambah tekanan. Sebelum ini kita mungkin tertekan dengan study dan exam. Rupa-rupanya alam kerjaya tanpa study dan exam jauh lebih berat dan lebih mencabar. Sebelum ini kita mungkin tertekan kerana hidup seorang diri tanpa pasangan hidup. Rupa-rupanya alam rumahtangga menyelesaikan sebahagian masalah tetapi mengundang masalah lain yang lebih besar. Semasa bergaji kecil, kita berasa tertekan lalu berusaha untuk mendapatkan pendapatan yang lebih besar. Dapat pendapatan besar, lain pula bentuk tekanannya. Inilah hakikat kehidupan. Kehidupan di dunia adalah ujian dan tekanan. Inilah kenyataan yang perlu diterima sebaiknya.

"Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya)." (Al-Balad: 4)

Al-Hasan menafsirkan kesulitan dan kesukaran itu: "Kerana manusia akan menghadapi musibah di dunia dan kesulitan di akhirat."

Hadapi dan Tinggikan Martabatmu di Sisi Allah

Kita berada di alamNya. Kepatuhan kepada Allah bererti kita mesti menerima peraturanNya.

"Dialah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat)." (Al-Mulk: 2)

Imam al-Mawardi menafsirkan 'siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya' sebagai 'siapakah di kalangan kamu yang lebih redha terhadap ketentuan Allah dan lebih sabar terhadap ujianNya'. Jangan sesekali menyalahkan takdir. Allah Maha Adil untuk menzalimi manusia.

"dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya. " (Fussilat: 46)

Yakinlah bahawa segala yang berlaku adalah dengan takdir Allah. Allah mengkehendaki berlakunya kepayahan dan kesusahan di dalam hidup. Semua itu untuk mengangkat martabat manusia. Lebih tabah kita menghadapinya, lebih tinggi martabat kita di sisi Allah. Kehidupan generasi awal membuktikan hakikat ini. Mereka diuji dengan pelbagai ujian dalam kehidupan.

Saidina Osman r.a. diuji dengan kematian satu demi satu isterinya (kedua-duanya adalah anak Rasulullah s.a.w.). Rasulullah s.a.w. memujuknya ketika beliau berada di kemuncak kesedihan pulang dari majlis pengkebumian: "Jika aku mempunyai yang ketiga (anak perempuan lain yang masih belum berkahwin) akan ku kahwini denganmu." Tetapi Rasulullah s.a.w. tidak ada lagi anak perempuan lain dan Saidina Osman r.a. tabah menerima hakikat itu.

Saidina Omar r.a. diuji dengan kemarau dan wabak penyakit yang menimpa negara Islam selama bertahun-tahun. Kulit Saidina Omar r.a. yang asalnya berwarna putih kemerah-merahan bertukar gelap disebabkan kekurangan makan dan minum. Umat Islam ketika itu menangisi keadaan dan kesulitan yang dihadapi oleh Khalifah mereka tetapi Saidina Omar r.a. terus bertekad untuk menjadi manusia yang paling sedikit makan dan minum di kalangan umat Islam sepanjang krisis ini berlaku.

Kenapakah manusia yang berjasa kepada umat Islam juga diuji dengan ujian hidup? Kerana kecintaan Allah kepada mereka. Mereka menghadapi semua itu dengan tabah lalu Allah mengangkat martabat mereka di sisiNya. Kemudian mereka diuji lagi dengan ujian yang lebih besar, mereka menghadapinya dan martabat mereka akan semakin tinggi. Demikian pusingan kehidupan.

Begitulah Kita

Hadapilah ujian hari ini dengan tabah. Bersedialah untuk ujian seterusnya yang lebih besar. Jadilah orang yang kuat untuk menghabiskan baki kehidupan. Moga Allah menempatkan kita di kedudukan yang tinggi di akhirat kelak.


Sumber


Huraian Al-Quran tentang Nusyuz Suami dan Isteri

Posted on 3:29 PM In: ,

Pengunjung yang budiman, Selalunya yang di dengari adalah isteri Nusyuz, jarang kita dengar suami yang nusyuz. Semasa Wacana Wanita & Keadilan Syariah yang telah diadakan tempohari , kertas kerja Ustaz Alias Othman yang bertajuk "Huraian Al Quran tentang Nusyuz suami dan isteri : Pengertian dan penyelesaiannya" telah membincangkan topik dengan panjang lebar. Berikut adalah sedutan dari kertas kerja Ustaz Alias.

1.1.Adakah Istilah nusyuz hanya kepada isteri ?

Sekalipun nusyuz suami sudah dirakamkan dalam Quran dan perkataan nusyuz telah lama dikenali dalam masyarakat Melayu Islam di Malaysia namun istilah ini masih digunakan khusus merujuk kepada isteri yang ingkar dan derhaka kepada suami. Istilah ini tidak digunapakai kepada suami. Malah kalau ada orang mengakatakan ‘suami nusyuz’, dia dianggap ganjil. Keadaan ini bukan berhenti di situ sahaja, malah ia berlanjutan kepada persoalan amalan, di mana hanya wanita sahaja yang dianggap nusyuz, lelaki tidak dianggap nusyuz. Akibatnya banyak kezaliman berlaku ke atas isteri dan ramai suami yang terlepas daripada beban atau hukuman yang sepatutnya mereka tanggung.

Kertas ini berusaha merungkai isu ini dan cuba meyakinkan masyarakat, terutama para suami dan isteri bahawa nusyuz bukan sahaja berlaku oleh isteri, tetapi juga berlaku oleh suami. Dengan itu diharapkan semua pihak dapat bertindak seperti yang sewajarnya bagi mendapatkan keadilan kepada semua pihak.

Penulis berusaha sedaya mampu mempastikan semua pandangan dalam kertas ini dirujuk kepada kitab-kitab tafsir dan penulisan fiqh. Paling kurang ia adalah pandangan yang dirumuskan daripada beberapa penulisan, bukan pandangan peribadi penulis sendiri.

1.2. Seimbas tentang Sistem Keluarga Islam

Sistem Kekeluargaan Islam, satu sistem yang menyusun institusi keluarga, menjelaskan semua urusan di dalamnya, menentu dan mengagihkan bidang tugas, menentukan tanggungjawab anggota keluarga, menjelaskan prosedur-prosedur yang mesti dipatuhi dalam melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab. Allah yang mencipta manusia telah mencipta bersamanya fitrah ingin berpasangan seperti makhluk-makhluk lain ciptaan Allah:

ومن كل شىء خلقنا زوجين لعلكم تذكرون – الزاريات 49

زين للناس حب الشهوات من النساء والبنين – آت عمران 14

Kemudian Allah menjadikan pasangan manusia terdiri daripada dua bahagian yang dicipta daripada satu jasad, iaitu jasad Adam as.

يا أيها الناس اتقوا ربكم الذى خلقكم من نفس واحدة وخلق منها زوجها – النساء 1

Seterusnya Allah mahu pertemuan pasangan dari jasad Adam ini akan membawa kepada ketenangan jiwa, ketenangan saraf, kedamaian ruh dan kerehatan jasad.

ومن آياته أن خلق لكم من أنفسكم أزواجا لتسكنوا إليها وجعل بينكم مودة ورحمة – الروم 21

Seterusnya pasangan ini akan saling menjadi perisai yang saling melindungi antara semua anggota keluarga. Ia digambarkan dengan pakaian yang melindungi jasad dan melindungi keluarga daripada azab neraka.

هن لباس لكم وأنتم لباس لهن –البقرة187

يا أيها الذين آمنوا قوا أنفسكم وأهليكم نارا وقودها الناس والحجارة – التحريم 6

Akhirnya pasangan ini menjadi institusi yang akan mengembangbiakkan zuriat dan keturunan Adam, mendidik dan membangun insan saleh dan musleh yang bertindak menjadi khalifah Allah. Ia berperanan memakmurkan bumi Allah untuk manfaat makhluk Allah yang bernama manusia.


نساؤكم حرث لكم فأتوا حرثكم أنى شئتم وقدموا لأنفسكم واتقوا الله – البقرة 223

كل مولود يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو يمجسانه أم ينصرانه

“Setiap anak dilahirkan dalam keadan fitrah (suci) Ibubapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani”.

Sebagai manusia pasangan anak Adam ini mendapat kemuliaan dan kedudukan yang sama rata di sisi Allah. Dari kemuliaan dan kesamarataan antara pasangan ini lahirlah satu doktrin hidup yang memberi penghormatan kepada wanita, persamaan hak dengan lelaki dari semua aspek: pahala, dosa, upah, hak milik, hak mewarisi harta, hak kebebasan peribadi madani dan hak-hak lainnya.

Pertemuan pasangan anak Adam ini sangat penting dalam membentuk sebuah institusi keluarga. Ada dua tanggungjawab berat yang mesti dipikul institusi ini.

Pertama; mewujudkan suasana ketenagan dan kedamaian jiwa seisi keluarga; sakinah, mawaddah dan rahmah, di samping menjadi perisai, pelindung dan pengawas..

Kedua; membekalkan masyarakat keupayaan untuk terus berkembang biak dengan cara yang sesuai dan setaraf dengan darjat manusia di samping mengangkat darjat manusia ke tahap kemuliaan paling maksima. Semua ini telah diperincikan dalam satu sistem yang lengkap; Sistem Kekeluargan Islam. Konsep kekeluargaan ini mengarahkan semua pihak kembali kepada hukum Allah; bukan hukum adat, budaya, nafsu, tindakbalas emosi atau kecenderungan peribadi.


1.3. Talak hak suami; khulu` hak isteri.

Sebagai tindakan menyediakan ubat sebelum sakit Sistem Keluarga Islam telah memberikan hak talak kepada suami sebagai penyelesaian terakhir kepada krisis dalam keluarga atau kerana dia tidak lagi mahu meneruskan kehidupan berumahtangga dengan isterinya, atas apa sebab jugapun. Namun jika dia menceraikan isteri bukan sebab nusyuz dia wajib membayar mut`ah perceraian. Untuk tujuan yang sama isteri diberikan hak khulu` atau tebus talak bagi membebaskan dirnya daripada suami jika dia tidak lagi mahu meneruskan kehidupan berumahtangga dengan suaminya atas apa sebab jugapun.

1.4. Qiwamah Dan Nusyuz.

Isu qiwamah suami ke atas isteri sangat berhubung rapat dengan nusyuz isteri. Ini kerana Islam telah memberikan hak qiwamah kepada lelaki, termasuk suami.

الرجال قوامون على النساء بما فضل الله بعضهم على بعض وبما انفقوا من أموالهم فالصالحات قانتات حافظات للغيب بماحفظ الله -النساء 34

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) dari sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang saleh ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri di belakang (pengetahuan) suaminya oleh kerana Allah telah memelihara ( mereka)”.

Qiwamah dalam arti kata kepimpinan perlu kepada kepatuhan dan ketaatan. Tiada erti pada qiwamah jika tiada ketaatan. Dalam konteks keluarga suami yang diberi hak qiwamah mestilah mendapat ketaatan daripada seisi keluarga, terutama isteri. Jika isteri ingkar, di sinilah timbulnya isu nusyuz. Ketaatan kepada suami bukan atas dasar ketinggian darjat dan kedudukan suami berbanding isteri, tetapi atas dasar qiwamah.

Berbagai pendapat dikemukakan cendekiawan Islam mengenai maksud qiwamah dalam ayat ini. Semua penjelasan ini menyimpulkan qiwamah bukan berdasarkan kuasa, ketinggian darjat dan kedudukan lelaki berbandig wanita, tetapi atas dasar potensi, tabiat semulajadi, tanggungjawab, ehsan dan timbangrasa.

Menurut al-Maududi, ayat ini dengan terus terang memberikan qiwamah kepada lelaki di samping menyatakan dua sifat istimewa wanita salihah: taat قانتات dan memelihara rahsia suami حافظات للغيب . Menurut beliau qiwamah ini tidak terbatas kepada qiwamah dalam keluarga sahaja, malah termasuk qiwamah ke atas siasah dan politik negara. Quran tidak membataskan qiwamah ini ke atas wanita dalam keluarga sahaja. Quran tidak menyebutkan perkataan ‘rumah’ (البيوت) dalam ayat ini. (Maududi, Tadwin al-Quran 70 – 71)

Menurut al-Zamakhsyari, lelaki memiliki qiwamah ke atas wanita kerana kelebihan yang diberikan Allah. Menurut beliau ayat ini menjadi dalil bahawa hak ke atas wilayah (kuasa memimpin dan melindungi) hanya boleh didapati melalui kelebihan, bukan melalui kemenangan, kuasa dan paksaan. (al-Kassyaf:1:266)

Menurut al-Qurtubi, di kalangan lelaki ada para hakim, pemerintah dan mereka yang berperang. Semua itu bukan bagi wanita.(op.cit, 5:168). Tentang kelebihan lelaki, selain ayat di ata ada ayat-ayat lain yang menjelaskan kelebihan ini, antaranya firman Allah:

قوا أنفسكم وأهليكم نارا وقودها الناس والحجارة – التوبة 6

Ayat ini langsung dan terus terang memerintahkan lelaki melindungi keluarga daripada siksa neraka.

ولهن مثل الذى عليهن بالمعروف وللرجال عليهن درجة – البقرة 228

Menurut al-Tabari, maksud darjat yang Allah berikan kepada lelaki ke atas wanita ialah Allah memberi kelebihan kepada mereka dalam pusaka, jihad dan yang seumpamanya. Al-Tabari menukilkan bahawa Zaid bin Aslam menjelaskan maksud ‘darjat’ dalam ayat ini ialah ‘imarah’. Dalam versi lain beliau menyatakan ayat ini bermaksud: wanita mentaati lelaki, bukan lelaki mentaati wanita. (al-Tabari, Tafsier al-Tabari 4:534)

ولا تتمنوا ما فضل الله به بعضكم على بعض للرجال نصيب مما اكتسبوا وللنساء نصيب مما اكتسبن – النساء 32

Menurut Dr. Abdul Wahab al-Syisyani (Huquq al-Insan Wa Huriyatihi al-Asasiyah 69) ayat ini menunjukkan kelebihan lelaki adalah berdasarkan potensi semulajadi dan pembahagian tugas antara lelaki dan wanita.

Oleh kerana suami diberikan qiwamah dalam keluarga maka apa sahaja krisis yang berlaku dalam keluarga orang pertama dipersoalkan ialah suami, kerana dia yang memimpin dan mengendalikan keluarganya, selepas itu barulah isteri dan isi keluarga yang lain. Inilah mahar qiwamah dan kelebihan yang diberikan Allah kepadanya.

Jelas bahawa qiwamah dan kelebihan lelaki dalam konsep yang dikemukakan adalah ketentuan dari Allah kepada manusia atas hikmat yang hanya Dia mengetahuinya. Oleh itu mempertikaikan qiwamah dan kelebihan ketentuan Ilahi ini adalah suatu yang tidak normal kepada pegangan iman seorang muslim.

2. Asal Perkataan Nusyuz.

Istilah nusyuz dipinjam dari Bahasa Arab. Perkataan asalnya ialah al-nasyzu النشز bermaksud tempat yang tinggi. Perkataan nusyuz نشوز bererti berada di tempat yang tinggi. Isteri yang nusyuz ialah isteri yang ingkar kepada suaminya dan membangkitkan kemarahannya. Nusyuz suami apabila dia memukul isterinya atau bersikap dingin dan acuh tak acuh terhadapnya. ( Fairuz al-Abadi: Qamus al-Muhit 678) .

Kesesuaian pengertian ini dengan nusyuz isteri atau suami ialah: isteri atau suami yang nusyuz meletakkan dirinya di tempat yang tinggi dengan ingkar kepada perintah Allah yang diwajibkan ke atasnya terhadap suami atau isterinya. Ini akan dapat dilihat nanti selepas maksud nusyuz isteri atau suami itu dijelaskan.

3. Nas Quran Berkaitan Nyusyuz.

Ada dua nas Quran yang secara langsung menyebutkan nusyuz isteri dan suami. Pertama menyatakan nusyuz isteri. Kedua menyatakan nusyuz suami.

3.1. Nusyuz isteri.

واللتى تخافون نشوزهن فعظوهن واهجروهن فى المضاجع واضربوهن فإن أطعنكم فلا تبغوا عليهن سبيلا – النساء 34

Dan wanita-wanita yang kamu bimbang nusyuznya maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah diri dari tempat tidur mereka dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya”.

3.2. Nusyuz suami.

وإن امرأة خافت من بعلها نشوزا أو اعراضا فلا جناح عليهما أن يصلحا بينهما صلحا والصلح خير – النساء 128

“Dan jika seorang wanita bimbang akan nusyuz atau sikap tidak acuh dari suaminya maka tidak mengapa bagi kedua-duanya mengadakan suluh yang sebenar-benarnya dan suluh itu lebih baik (bagi mereka)

4. Nusyuz Isteri.

Nusyuz isteri disebut dalam ayat 34 surah al-Nisa’ di atas. Nusyuz dalam ayat ini bererti derhaka atau ingkar. Oleh itu maksud ayat ini ialah: sekiranya kamu bimbang kederhakaan dan sikap meninggi diri mereka (isteri) daripada mematuhi apa yang diwajibkan Allah ke atas mereka, iaitu mentaati suami, maka ……”. ( Al-Qurtubi: al-Jami`e Li Ahkam al-Quran 5:170)

Nusyuz ialah kederhakaan dan meninggi diri wanita dari mematuhi apa yang diwajibkan Allah ke atas mereka, seperti taat kepada suami. (ibid 5:170). Isteri menimbulkan kemarahan suami (ibid 5:71)

Bagi Prof. Dr. Wahbat al-Zuhaili nusyua isteri ialah kederhakaan wanita terhadap suami dalam perkara yang diwajibkan ke atasnya, sikap saling membenci antara keduanya dan keluar rumah tanpa izin suami. (al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu 7:338) . Isteri meninggalkan rumah dengan tiada sebab syari`e yang membolehkan atau menghalang suaminya memasuki rumahnya sebelum suami memintanya berpindah ke rumah lain (Zuhaili: op.cit 7:790, Dr. Abd Karim Zaidan, al-Mufassal Fi ahkam al-Marah 7:161)


Perempuan nusyuz ialah perempuan yang meninggi diri daripada suaminya, meninggalkan perintahnya, menjauhkan diri daripadanya, mengelak diri dari suaminya, menyebabkan suaminya marah. (Dr, Muhammad `Uqlah: Nizan al-Usrah Fi al-Islam 2:179. al-Sayuti: al-Dur al-Mantsur Fi Tafsir al-Ma’tsur 2:521. Ibn Katsir: Tafsir al-Quran al-Azim 1: 492. Abd. Rasyid Reda, Tafsir al-Manar 3:72-73) . Pandang rendah terhadap suami, tidak mentaati perintahnya. (ibid)

4.1. Bila isteri dianggap nusyuz.

Isteri dianggap nusyuz apabila tanda-tanda nusyuz. Nusyuz isteri ditandai oleh dua perkara. Pertama melalui perbuatan dengan menjauhkan diri, bermasam muka dan enggan ketika dipanggil. Semua ini berlaku setelah sebelumnya dia bersikap mesra. Kedua melalui perkataan seperti berintraksi dengan suamu dengan perkataan yang kasar, ia berlaku setelah sebelumnya dia bercakap lembut. (Prf. Dr. Wahbat al-Zuhaili: op.cit 7:338).

Huraian-huraian ini cukup untuk memahamkan kita maksud nusyuz isteri.


4.2. Isteri salihah tidak nusyuz.

Sekiranya isteri itu tergulung dalam lingkungan wanita salihat dia tidak akan nusyuz. Ayat di atas menyatakan wanita salihah ialah yang taat قانتات kepada Allah, memelihara diri dengan tidak berlaku curang, menjaga rahsia dan harta suaminya حافظات للغيب , kerana Allah telah memelihara mereka. (34 al-Nisa’)


4.3. Tindakan suami jika isteri nusyuz.

Jika isteri nusyuz suami mestilah melakukan tindakan-tindakan berikut: bersabar menghadapi karenah isteri, memberi nasihat, pisahkan tempat tidur, memukul. Jika tidak berjaya, krisis itu dirujuk kepada hakam untuk mencari penyelesaian. Jika ini juga tidak berhasil pilihan terakhir suami, jika dia mahu, ialah menceraikan isterinya dengan talak satu. (34 al-Nisa’)


Perlu diingat sebelum menasihati isteri suami sepetutnya terlebih dahulu mengkoreksi dan melakukan muhasabah diri, mencari di mana kelemahan dan kesalahan diri. Inilah yang adil bagi isteri dan bijak bagi seorang yang diberikan qiwamah dan kelebihan oleh Allah.


5. Nusyuz Suami.

Nusyuz suami disebut dalam ayat 128 surah al-Nisa’ yang telah dinukilkan di atas.

Berbagai-bagai versi riwayat yang menjelaskan latarbelakang ayat ini diturunkan, antara lain ialah kebimbangan Saudah Binti Zam`ah dia akan diceraikan Rasulullah saw, lantas dia berkata kepada Baginda saw: “janganlah ceraikan saya, kekalkanlah saya (sebagai isteri). Dan berikanlah satu hari giliran saya kepada `Aisyah”. Rasulullah saw menerima tawaran tersebut lalu ayat ini diturunkan. (al-Qurtubi, op.cit 5:402).


Menurut Ibn Abi Malikah ayat ini menolak pandangan sesetengah orang bahawa apabila seorang lelaki telah menghabiskan usia muda seorang wanita dan setelah tua lelaki terbabit tidak lagi berhak menggantikannya dengan wanita lain (Ibn `Arabi, Ahkam al-Quran.1:504, Qurtubi, op.cit 5:404). Beliau melihat isu ini positif kerana Allah telah memberi satu jalan keluar di saat tiada pilihan bagi lelaki yang tidak lagi mahu mengekalkan status isterinya sebagai isteri.


Sewaktu ditanya mengenai maksud ayat ini Ali karramalLahu wajhah berkata: seorang lelaki punya perempuan di bawah tanggungannya (isteri), dia tidak lagi tertarik kepadanya oleh kerana susuk tubuhnya, usianya yang telah tua, akhlaknya yang buruk atau kecacatannya. Wanita itu tidak mahu dia diceraikan, jika dia memberikan kepada suaminya sesuatu, harta atau hari gilirannya dia boleh melakukannya”. (Said Hawa, al-Asas Fi al-Tafsir 2:1195).


Dalam ayat ini terdapat dua istilah: nusyuz نشوز dan `ie’radh اعراض . Nusyuz bermaksud mengabaikan isteri dengan menghalang dirinya daripada isteri, tidak memberi nafkah, menyakitinya dengan maki hamun atau memukulnya. `ie’radh kurang bercakap dan bermesra dengan isteri disebabkan usianya yang telah tua, susuk tubuhnya yang tidak lagi menarik, buruk akhlak, jemu atau ingin mencari yang lain. (said Hawa, ibid 2:1194)


Dalam mentafsirkan ayat ini al-Qurtubi menjelaskan bahawa sekiranya isteri berpendapat suaminya akan bersikap nusyuz (ingkar dan menjauhkan diri) atau ‘ie`radh (tidak bertegur sapa dan tidak bermesra) dia bolehlah menawarkan suluh kepada suaminya. Suluh boleh berlaku melalui tawaran isteri dengan menggugurkan sebahagian haknya sebagai ganti daripada dia diceraikan. Suluh juga berlaku melalui tawaran oleh suami untuk memberikan kepada isterinya kadar tertentu harta sebagai ganti dia melebihkan isteri lain (al-Qurtubi, op.cit 5:423-424)


Isunya, jika isteri menawarkan suluh dan dierima suami atau suami menawarkan suluh dan diterima isteri. Namun jika isteri tidak menawarkan suluh atau isteri tidak menerima tawaran suluh suami dan isteri juga tidak nusyuz, dalam keadan ini suami wajib berlaku adil dan memberikan semua hak isteri dan melaksanakan semua kewajipannya sebagai suami.


Dari perbincangan ini dapat dirumuskan bahawa suami juga melakukan nusyuz. Suami dianggap nusyuz apabila dia cuai dalam melaksanakan kewajipan rumahtangga. Menurut Muhammad Qutb dan Dr. Muhammad `Uqlah kalau isteri dianggap telah nusyuz apabila dia derhaka kepada suami, tidak menunaikan kewajipan dan keluar rumah tanpa izin suami maka suami juga boleh dianggap telah nusyuz apabila dia enggan memberi nafkah kepada isteri. (Muhammad Qutb, Syubhat Haula al-Islam 128 dan Dr. Muhammad `Uqlah, Nizam al-Usrah Fi al-Islam 2:184)


Dr. Mustafa al-Khin menganggap suami nusyuz apabila pengabaian dan keengganan berlaku di dipihak suami dengan dia tidak menunaikan giliran, tidak memberi nafkah, bertindak kasar dengan perkataan atau perbuatan. (Mustafa al-Khin dan Dr. Mustafa al-Bugha, al-Fiqh al-Manhaji2;105).

Penjelasan-penjelasan ini cukup untuk meyakinkan kita bahawa suami juga berlaku nusyuz dan memahamkan kita apa maksud nusyuz suami.


5.1. Bila suami dianggap nusyuz.

Suami nusyuz bolehlah ditakrifkan sebagai: suami yang enggan menunaikan hak spiritual, material atau bertindak kasar terhadap isteri. Hak spiritual isteri ialah komunikasi yang baik, memenuhi kepuasan seksual, memberi pendidikan agama, dicemburui dan adil antara para isteri, tidak dihina dan dikasari. Hak material isteri ialah maskahwin, nafkah dan mut`ah jika berlaku perceraian tanpa nusyuz isteri. (al-Qurtubi, op.cit 5:422-324, Dr. Muhamad `Uqlah, op.cit 2:84, Muhammad Qutb, Syubhat Haula al-Islam 124).


5.2. Tindakan isteri jika suami nusyuz.

Jika suami nusyuz isteri mestilah bersabar. Memperingatkannya tentang kewajipan husnu al-mu`asyarah seperti disedut dalam ayat 18 surah al-Nisa’ وعاشروهن بالمعروف . Memperingatkannya hadis Rasulullah yang menyatakan lelaki yang paling baik ialah suami yang paling baik terhadap isterinya خيركم خيركم لأهله وأنا خيركم لأهله. Memperingatkannya tentang akibat kezalimannya terhadap Isteri.


Jika ini tidak berjaya isteri berhak membawa kesnya kepada kadi untuk dia mendapatkan semua haknya, kerana kadi dilantik untuk mengembalikan hak kepada yang empunya hak dan kerana isteri tidak berdaya mendapatkan haknya tanpa kuasa kadi. Kadi bertanggungjawab memaksanya menyempurnakan hak isteri dan menghentikan kezalimannya. Jika ini juga tidak berhasil dan suami masih meneruskan nusyuznya dan bertindak memukul dan memaki hamun kadi hendaklah menjatuhkan hukuman taazir ke atasnya. Jika ini juga tidak berhasil hakam hendaklah dilantik bagi berusaha melakukan suluh. Jika usaha suluh juga gagal, penyelesaian terakhir ialah cerai.


Itu dia pengunjung yang dirahmati Allah, sedikit penerangan mengenai nusyuz suami dan isteri. Sudah tentu artikel yang ditulis Oleh Ustaz Alias Othman ini dapat mencerahkan lagi pengetahuan kita tentang hukum-hakam dalam sistem keluarga Islam.

Semoga di rahmati Allah.



Wacana Wanita & Keadilan Syariah

Posted on 3:07 PM


Perkongsian - Program Wacana Wanita & keadilan Syariah

KUALA LUMPUR, Khamis 26 Mac 2009 - Program Wacana Wanita dan Keadilan Syariah telah pun berlangsung
dengan jayanya bertempat di Dewan Hadhari, Pusat Islam Malaysia. Wacana kali ini adalah anjuran bersama

Pusat Sokongan Wanita dan Keluarga Islah (PAKSI) di bawah Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)
dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Wacana ini diadakan sempena Hari Wanita Sedunia 2009 dengan temanya, “Berkongsi Keprihatinan Masa Depan : Syariah Penyuluh Kehidupan Seimbang “

Telah dirasmikan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI, Ustaz Che Mat Che Deraman pada jam 8.30 pagi.

Dewan telah padat dengan peserta di mana lebih 100 orang peserta telah memenuhi dewan yang sepatutnya hanya dapat menampung 100 peserta.

Peserta terdiri daripada kakitangan jabatan kerajaan, swasta, pasangan suami isteri, pelajar IPT dan wakil pelbagai persatuan.

Sidang akhbar telah diadakan yang telah dihadiri oleh wakil-wakil media dari Utusan Malaysia , Majalah I dan majalah Aniqah.

Ustaz Alias sedang membentangkan tajuk "Huraian Al-Quran tentang Nusyuz Suami & Isteri : Pengertian & Penyelesaian"

Ucaptama Dr Har : "Keadilan & Kesaksamaan dalam Kehidupan Berkeluarga
menurut Perspektif Syariah"

Seorang lagi penceramah, Puan Sazira Abd Aziz yang didatangkan dari Johor untuk tajuk "Penambahbaikan Implementasi
Sistem Perundangan Kekeluargaan Syariah di Malaysia : Satu tuntutan"

Rumusan wacana oleh Pengurus PAKSI, Puan Faridah Maludin.

Jazakumullahu khairan jaza’ kepada semua jawatan kuasa pelaksana yang terdiri dari AJK PAKSI, WJ Daerah Batu, JIM Media,
pegawai2 eksekutif dari pejabat JIM Pusat, para penceramah dan peserta yang telah menjayakan wacana kali ini.

Selesai program, PAKSI-JIM telah dipelawa untuk terus berkongsi ilmu oleh beberapa pihak termasuk Persatuan Keluarga
Polis Diraja Malaysia Polis (PERKEP) Bukit Aman dan pihak JAWI di Putrajaya.


Lawatan WJIMKL ke Cheras

Posted on 2:13 PM




Pada 12 Mac 2009 yang lalu maka tamatlah siri lawatan Wanita JIM KL ke daerah-daerahnya. Lawatan ini bertujuan untuk merapatkan silaturrahim antara AJK wanita negeri dan daerah selain daripada berkongsi masalah dan juga kejayaan di daerah. Dikepilkan gambar-gambar yang diambil semasa Lawatan WJIMKL ke Cheras.

Ahlan Wa Sahlan

Posted on 10:48 PM
Assalamualaikum ,

Pengunjung yang budiman,

Selamat datang ke blog Wanita JIM KL. Kami berbesar hati menerima kunjungan anda semua, sudikanlah membaca posting kami yang berkisar mengenai aktiviti-aktiviti Wanita JIM KL serta perkongsian pengalaman kami menjalankan aktiviti kemasyarakatan di sekitar Lembah Kelang.

Wanita JIM KL adalah sayap kepada Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia Kuala Lumpur (JIM KL) yang merupakan satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar. Wanita JIM KL telah ditubuhkan pada tahun 1993 bergerak seiring dengan JIM KL ,menjalankan aktiviti -aktiviti yang khususnya melibatkan wanita serta remaja puteri dengan motto " Bersama Islam Membina Masyarakat".

:: DEMI MASA ::


:: VISI ::

Menjadi pemimpin wanita yang fundamental, komtemporari dan profesional berasaskan Islam.

:: MISI ::

Wanita JIM mendokong misi JIM Pusat melalui:
  • -Sistem tarbiah dan pembangunan sumber manusia yang mantap
  • -Ilmu dan kemahiran yang berpandukan asas yang sahih
  • -Organisasi yang tersusun.

:: HIWAR ::


ShoutMix chat widget


:: WANITA GEMILANG ::

Lagu Wanita Gemilang

Lembut dan sopan gerak langkahmu
Lambang mu'minah dan kewanitaan
Tangkas menyahut cabaran waktu
Ciri-ciri wanita gemilang

Dalam kelembutan ada semua
Keyakinan dan sifat kepimpinan
Dalam keluarga dan rumah tangga
Engkau isteri dan ibu teladan

Mesra ceria di dalam bekerja
Kemas ikhlas dalam persatuan
Membawa Islam kita mengorak langkah
Wanita JIM bersama masyarakat


Berserah pada Allah
Yakini Rasulullah
Peribadi solehah
Berbakti pada insan
Suburkan kasih sayang
Kekalkan kemesraan

Mari sambut seruan
Mari berpimpin tangan
Kita mara ke depan
Teruskan perjuangan
Didik anak warisan
Pemimpin yang beriman

:: TETAMU ::

Followers