Renungan Buat Isteri

Posted on 8:29 AM In:

Salam,
Selamat berkunjung kembali ke blog kami. Hari ini ruang tazkirah diisi dengan pengisian dari Wanita JIM Batu. Terimakasih di atas sumbangan.



Renungan Buat Insan Yang Dipanggil Isteri...

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Jika sekiranya aku berhak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang yang lain, nescaya aku menyuruh para isteri sujud kepada suaminya."

Hadis tersebut menerangkan betapa kepatuhan isteri terhadap suami amat diutamakan demi kebaikan sesebuah institusi keluarga, sesuai kedudukannya sebagai pemimpin rumah tangga.Demikian juga halnya ketika junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. mikraj ke langit, Baginda telah dipersaksikan dengan neraka dan penghuninya yang kebanyakkannya terdiri daripada kaum wanita.
Ali Karramallahu Wajhah berkata:
"Aku masuk ke rumah Nabi beserta Fatimah, aku mendapati baginda sedang menangis tersedu-sedan. Aku bertanya, "Ya Rasulullah, apa yang membuat anda menangis?" Baginda menjawab, "Ya Ali, pada malam aku diangkat ke langit, aku melihat kaum perempuan daripada umat ku disiksa di neraka dengan bermacam-macam seksaan. Lalu aku menangis kerana begitu berat seksaan mereka yang aku lihat."
Baginda antara lain melihat perempuan yang digantungkan dengan lidahnya, sedangkan air panas dituangkan ke dalam tenggoroknya kerana ia telah menyakiti dan menyumpah-nyumpah suaminya.
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda,
"Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada seorang isteri yang tidak bersyukur kepada suaminya."

Marilah kita sama-sama merenungi kisah anakanda kesayangan Nabi Muhammad s.a.w. iaitu Fatimah Az-Zahra yang melaksanakan rutin hariannya sebagai seorang suri rumah tangga secara sendirian tanpa pembantu. Fatimah pada suatu hari telah meminta suaminya, Ali pergi menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta jasa baik baginda untuk menyerahkan seorang wanita tawanan perang sebagai pembantu rumah. Rasulullah bagaimanapun tidak dapat memperkenankan permintaan puterinya kerana semua harta rampasan perang termasuk wanita-wanita itu bukan menjadi milik baginda, tetapi milik negara Islam dan kaum Muslimin seluruhnya. Baginda tidak dapat memberikan sesuatu yang bukan menjadi miliknya.Permintaan Fatimah itu membimbangkan baginda, bukan kerana tugas berat yang sedang dipikul oleh puterinya itu tetapi disebabkan oleh bayangan keluh kesah seorang isteri yang tertekan akibat tugas-tugas yang perlu dibereskannya.
Pada sebelah malamnya, baginda telah mengunjungi rumah Fatimah dan menyatakan kepadanya: "Apakah kamu berdua (Fatimah dan Ali) suka kepada satu pemberian yang akan ku berikan ini, sedangkan ia lebih baik daripada apa yang kamu minta siang hari tadi?"Fatimah amat sukacita mendengarkan tawaran tersebut sekalipun dia tidak mengetahui apa bentuknya. Rasulullah menyatakan kepada Fatimah bahawa hendaklah dia membaca Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar, masing-masing sebanyak 33 kali setiap kali sebelum tidurnya.
Semenjak itu, wirid yang diajarkan oleh Rasulullah telah menjadi amalan anak dan menantunya. Hasilnya, Fatimah mendapati dia tidak lagi menjadi keluh kesah dalam menghadapi apa jua kerja-kerja sehariannya yang berat, malah merasa cukup bahagia melakukannya. Baginya, segala tugasan yang disempurnakannya sebagai seorang suri rumah merupakan satu amalan yang solehah.

Dengan taufik Allah, sesungguhnya walau seberat mana sekalipun tugasan yang menanti di rumah, tidak akan memenatkan selagi isteri tidak meletakkan dirinya seolah-olah sama taraf dengan suami, walau setinggi mana sekalipun darjatnya.Kepada para suami, kita sama-sama maklum, dalam zaman moden yang serba mencabar ini terutamanya di bandar-bandar besar, kita tidak dapat mengelak kos sara hidup yang tinggi sekali gus memerlukan kedua-dua suami isteri keluar bekerja.
Si isteri telah melakukan pengorbanan mencari rezeki tambahan untuk menyara keluarga yang sepatutnya menjadi tanggungjawab suami. Jadi sudi apalah kiranya sang suami bersama-sama meringankan tugas si isteri seadanya. Bukankah Rasulullah s.a.w. telah berpesan supaya para suami berbuat baik kepada isteri mereka. Jikalau isteri taat kepada kalian, janganlah pula menyusahkan mereka.
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang ertinya:
"Orang-orang yang terbaik daripada kamu sekalian adalah yang lebih baik dalam mempergauli keluarganya dan saya adalah yang terbaik dalam mempergauli keluargaku."

Mati Itu Adalah Benar

Posted on 12:10 PM In:


Pengunjung yang budiman, Perkongsian tazkirah dari Ketua Wanita JIM KL , Dr Niekmah Adam.

Dengan nama suci Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Maha Suci Allah Tuhan yang Maha Gagah, Maha Tunggal, Maha Kuasa dan Maha Kekal Abadi. Allah telah berkuasa memati dan membinasakan hambaNya untuk menilai kedudukan amal bakti, siapakah di antara kamu yang lebih berjasa. Sesungguhnya amal usaha kamu itu kelak (pada hari akhirat) akan diperlihatkan.

Segala sesuatu pasti akan binasa, kecuali zat Allah, Tuhan yang Maha Esa. Segala amalan kamu semasa hidup akan dibicarakan.

Setiap yang bernyawa pasti akan mati. Sesungguhnya balasan pahala kamu akan disempurnakan pada hari akhirat nanti. Sesiapa yang dapat mengelakkan dirinya daripada neraka, maka dialah orang yang berjaya. Sesungguhnya kehidupan di dunia ini hanya sementara dan penuh tipu daya.

Daripada tanah kamu dijadikan, untuk mencari ganjaran dan pahala. Ke dalam tanah kamu akan dikeluarkan untuk menjadi habuan ulat dan cacing. Ingatlah, daripada dalam tanah ini, suatu ketika kelak kamu akan dibangkitkan.

Dengan nama Allah, dengan keagungan Allah, bermula daripada Allah, berbalik kepada Allah dan atas agamaMuhammad Rasulullah, inilah dia kiamat iaitu suatu yang telah dijanjikan oleh Allah dan Rasul itu adalah benar. Sesungguhnya kiamat itu berlaku tempikan yang sekali sahaja, maka dengan tiba-tiba manusia itu semuanya mati.

Wahai hamba Allah,… anak kepada…,

Selamat tinggal buat selama-lamanya. Kami serahkan kamu kepada Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Semoga kamu dikurniakan rahmat Allah, sekarang kamu telah berada di alam barzakh. Oleh yang demikian, janganlah kamu lupa ikatan janji taat setiamu yang ada semasa kamu meninggalkan kami untuk menuju ke alam Akhirat. Pengakuan itu: “bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Nabi Muhammad itu pesuruh Allah”.

Apabila tiba dua malaikat sebagai wakil daripada Allah untuk menyoal kamu dan orang lain yang telah mati seperti kamu, maka janganlah kamu terkejut atau gerun, kerana kedua-duanya itu sama seperti kamu. Mereka adalah makhluk Allah. Apabila kedua-duanya bertanyakan kamu: “Siapakah Tuhan kamu? Siapa Nabi kamu? Apakah Agama kamu? Apakah ikutan kamu? Apakah kiblat kamu? Siapakah dia saudara kamu? Apakah keyakinan kamu semasa kamu mati?”

Maka kamu jawablah: “Allah Tuhanku, Muhammad Nabiku, Islam agamaku, Al-Quran ikutanku, Baitullah kiblatku, orang-orang Islam adalah saudaraku. Aku telah hidup, malah telah pun mati, tetapi aku tetap dengan pengakuan bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu pesuruh Allah”.

Peganglah wahai hamba Allah dengan keterangan ini. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya engkau akan tetap tinggal di alam barzakh, sehingga ke suatu masa apabila sekalian penghuni kubur dibangkitkan kerana dibicarakan di hadapan Tuhan.

Ketahuilah wahai hamba Allah, bahawa sesungguhnya mati itu benar, masuk ke liang kubur benar, soalan Munkar dan Nakir adalah benar. Bangkit semula daripada kubur adalah benar; perbicaran kerana mengira amalan baik dan buruk adalah benar. Meniti sirat untuk menentukan ke syurga atau ke neraka adalah benar. Syurga dalah benar. Neraka adalah benar. Sesungguhnya hari Kiamat tetap kan tiba tanpa ragu-ragu lagi. Maka Allah akan menghidupkan sekalian manusia.

Semoga Allah tetapkan kamu dengan perkataan yang benar. Wahai jiwa yang tenang dan tenteram, kembalilah kamu kepada Tuhanmu dalam keadaan meredai dan diredai. Masuklah kamu ke dalam golongan hamba-hambaKu yang soleh dan masuklah kamu ke dalam SyurgaKu.

Kematian adalah satu keadaan roh akan terpisah daripada badan. Roh akan kembali kepadaNya. Manakala badan yang berasal daripada tanah, akan dikuburkan ke dalamnya. Sakaratul maut akan menemui kita sebelum kita mati. Di saat kita akan mula, kita akan menghadapi kesakitan yang tidak dapat digambarkan. Kita akan menghadapi ujian Allah yang paling getir, untuk menentukan samada kita akan menghadapi husnul khatimah atau su’ul khatimah. Justeru ini kita jangan lupa membaca doa itu setiap kali selepas solat:

“Wahai Tuhan kami, akhirkanlah kehidupan kami dengan kesudahan yang baik. Jangan berikan kami kesudahan yang buruk. Wahai Tuhan kami, permudahkanlah kami menghadapi sakaratul maut dan lepaskanlah kami daripada api neraka”.

1) Para Ulama’ berkata: “Sesiapa yang mengharapkan sesuatu, dia hendaklah berusaha mendapatkannya. Sesiapa yang takutkan sesuatu dia hendaklah berusaha melarikan diri darinya. Sesiapa yang mengharapkan keampunan dalam keadaan terus menerus melakukan dosa, dia adalah orang yang terpedaya”

2) Hendaklah kita ketahui walaupun rahmat Allah Maha luas, namun azabNya adalah terlalu pedih. Dia juga telah menakut-nakutkan dengan azab sekeras-kerasnya. Kenapa kita masih tidak merasa takut?

3) Moga kita tidak tergolong di dalam golongan yang terpedaya kerana menyangka ketaatan yang dilakukan adalah lebih banyak daripada maksiat. Keadaan adalah sama seperti seorang yang meminta keampunan dari Allah dengan beristighfar dan bertasbih setiap hari, tetapi menghabiskan sepanjang hari dengan percakapan dalam perkara yang ditegah. Kita hanya melihat kelebihan beristighfar dan bertasbih tetapi pada masa yang sama tidak nelihat hukuman atau akibat dosa mengumpat dan percakapan dalam perkara yang di tegah.

Wallahualam



:: DEMI MASA ::


:: VISI ::

Menjadi pemimpin wanita yang fundamental, komtemporari dan profesional berasaskan Islam.

:: MISI ::

Wanita JIM mendokong misi JIM Pusat melalui:
  • -Sistem tarbiah dan pembangunan sumber manusia yang mantap
  • -Ilmu dan kemahiran yang berpandukan asas yang sahih
  • -Organisasi yang tersusun.

:: HIWAR ::


ShoutMix chat widget


:: WANITA GEMILANG ::

Lagu Wanita Gemilang

Lembut dan sopan gerak langkahmu
Lambang mu'minah dan kewanitaan
Tangkas menyahut cabaran waktu
Ciri-ciri wanita gemilang

Dalam kelembutan ada semua
Keyakinan dan sifat kepimpinan
Dalam keluarga dan rumah tangga
Engkau isteri dan ibu teladan

Mesra ceria di dalam bekerja
Kemas ikhlas dalam persatuan
Membawa Islam kita mengorak langkah
Wanita JIM bersama masyarakat


Berserah pada Allah
Yakini Rasulullah
Peribadi solehah
Berbakti pada insan
Suburkan kasih sayang
Kekalkan kemesraan

Mari sambut seruan
Mari berpimpin tangan
Kita mara ke depan
Teruskan perjuangan
Didik anak warisan
Pemimpin yang beriman

:: TETAMU ::

Followers