Hati Bertaut , Kasih Bersemi

Posted on 10:30 PM In:




Setelah lama bertangguh dan tertangguh,Alhamdulillah, segala kesyukuran di panjatkan kepada Allah, Tuhan seluruh alam yang telah memberi kami kelapangan masa dan tenaga untuk menganjurkan Majlis Hitea Tautan Kasih pada petang 25 Oktober 2009. Majlis dengan tema " ERATKAN UKHUWWAH, GERAKKAN ISLAH" dan membawa mood santai ini adalah satu sesi ramah mesra di antara Wanita JIM Kuala Lumpur bersama NGO Wanita Islam yang ada di sekitar Kuala Lumpur. Objektif utama majlis adalah untuk membina serta memantapkan hubungan dengan NGO wanita islam. Selain itu ia juga bertujuan meluaskan jaringan Wanita JIM KL.Selaras dengan misi Wanita JIM KL iaitu ; memimpin dakwah dan massa di Kuala Lumpur dengan lebih efektif melalui pemerkasaan, sinergi dan perkongsian , majlis yang dianjurkan ini amat tepat pada masanya serta di sambut baik.

Majlis ini yang telah dirancang sebelum Ramadhan lagi, dengan besar hati menerima kehadiran 10 aktivis dari 4 NGO wanita islam - WIRDA, HELWA ABIM , ANNISA dan ANNIDA. Jawatankuasa majlis telah mengeluarkan surat jemputan kepada 15 NGO Wanita, walaupun 9 telah memberi respon positif untuk hadir hanya 4 yang sampai ke majlis kami petang itu. Kita merancang, Allah jua yang menentukan , walaupun hanya 4 yang hadir, tetapi kemesraan jelas terpancar di kalangan yang hadir. Yang pasti
objektif utama kami iaitu membina hubungan/jalinan ukhuwwah telah tercapai.

Majlis telah di ceriakan lagi dengan persembahan nasyid dari anak-anak SRI AlAMIN KL. Mereka telah mempersembahkan 3 buah nasyid. Dan tidak lupa juga ....Sudah pasti hidangan yang begitu memukau selera telah disajikan oleh Enak Rasa Katering ( Salmi ) serta Pizza Malaysiana ( Ghaffar).

Rasanya belum terlambat lagi mengucapkan berbanyak terimakasih kepada semua AJK WJIMKL/Majlis HiTea yang telah sama-sama memainkan peranan dalam menjalankan serta menyempurnakan majlis ini.

Special thanks to Salmi yang telah berusaha mencantikkan PKJ. Petang itu PKJ telah di transformasikan menjadi sebuah dewan ekslusif ala-ala hotel gitu...So lepas ni siapa nak buat hi tea kat PKJ ...boleh contact Salmi.

Last but not least pada semua yang hadir pada petang itu, dari AnNisa, An Nida, Wirda dan Helwa Abim serta AJK Wanita daerah , kami mohon segala kemaafan jika ada yang terkurang..dan jutaan terimakasih kerana kehadiran puan-puan semua telah memeriahkan majlis kami.

Enjoy the pictures

Pengarah Majlis Hi Tea tautan kasih 2009




Posted on 2:30 PM

Laporan Lawatan Ke Kilang Roti Gardenia & Cokelat Beryl’s
PostDateIcon June 11th, 2009 | PostAuthorIcon Author: wmzukri
9c-depan2



Rombongan di depan kilang Gardenia. Semuanya dapat 1 beg roti.

Assalamualaikum,

Sedikit update mengenai program lawatan aulad ke Kilang Roti Gardenia dan Kilang Cokelat Beryl’s yang telah diadakan pada 2 Jun 2009 hari Selasa lepas. Alhamdulillah, penyertaan memberangsangkan, seramai 42 orang anak-anak ahli dan bukan ahli JIM Daerah Batu, Titiwangsa, Gombak dan Cheras diiringi 5 fasi terdiri dari makcik-makcik AJK WJKL dan daerah.

Kami bertolak hampir jam 9 pagi dan tiba di Kilang Gardenia lebih kurang 10.15 pagi kerana traffic jam yang teruk. Sepanjang perjalanan di dalam bas anak-anak menyertai kuiz, buat performance nasyid dan tengok kartun. Seronok depa dapat hadiah lepas buat persembahan. Di kilang roti, info melalui kartun walaupun ringkas, tetapi padat dan menarik. Bila melawat sekitar kilang, memang terpegun dengan penerangan dan melihat sendiri proses roti buku dibuat setiap hari. Rupanya Gardenia memasarkan 70% roti di Malaysia. Selepas lawatan ke kilang, setiap seorang diberikan goody bag yang penuh berisi roti dan produk Gardenia lain - memang berbaloi dan worth it! Patutlah mereka kata tak boleh beli di Gardenia - tak perlu pun…

Next, bertolak pula ke kilang cokelat Beryl’s di Seri Kembangan. Sekali lagi, selepas menonoton video, kami dibawa melawat ke sekitar kilang ’showroom’ dan kemudian ke kedai cokelat untuk membeli buah tangan.
Jam 1.00 tgh kami bertolak ke Puchong untuk makan Nasi Ayam di Ani Sup Utara. Penganjur dah tempah awal-awal. Oleh kerana masing-masing kelaparan, semua menikmati hidangan dengan aman dan senyap je… memang boleh dipuji anak-anak kita ni.

Setengah jam kemudian, kami bertolak pula ke Masjid Taman Puchong Prima, lebih kurang 3 minit je dari restoran tadi. Rupanya ada juga masjid di atas tasik di kawasan Puchong - tak pernah tahu pun. Memang cantik… dan di situlah kami menunaikan solat Zuhur dengan kawasan yang tenang dan berangin. Rasanya kalau tak dibawa ke situ hari tu, mungkin tak akan jejak ke masjid tu.

Kami tiba di Shell Greenwood jam 3.30 petang. Alhamdulillah, anak-anak settle pulang ke rumah masing-masing walaupun agak kelam kabut kerana hujan turun dengan lebat secara tiba-tiba.

Sebenarnya, ada assignment untuk anak-anak - Tahap 2 perlu buat karangan format laporan, dan Tahap 1 buat Catatan Diari. Kena submit pada PIC aulad di daerah masing-masing ie Makcik Roosni atau Makcik Rozana. Deadline? Patutnya hari ini, Isnin 8/6 - tapi mana penyertaannya anak-anak?

InsyaAllah, gambar lawatan akan diposkan oleh Makcik Jam. Sesungguhnya, pelbagai aktiviti bermanfaat telah dilalui - perjalanan bersama rakan, menimba ilmu tentang produk makanan, kemudian makan dan solat bersama. Dengan assignment yang diberikan, anak-anak dapat pendedahan secara praktikal untuk membuat laporan dan diari - memang soalan yang agak biasa dalam karangan UPSR. (siapa kata lawatan bukan program yang bermanfaat?)

Jazakumullahukhairan kathira kepada semua yang terlibat menjayakan aktiviti aulad kali ini, terutama kepada Makcik Roosni dan Makcik Jam dari daerah Batu yang take the lead kali ini. Next program aulad KL, daerah Titiwangsa pula yang in-charge… nak buat program apa ya?

(Makcik) Rozana
Unit Aulad, WJKL



KALAU...KALAU..KALAU

Posted on 1:33 PM

"Kalau..Kalau. .Kalau..Kalau. .."
Kalaulah Allah lihatkan amalan kita..
berapa banyak dosa.
berapa banyak pahala??

Kalaulah dosa itu macam batu.
berapa berat perlu kita angkat?
Kalaulah pahala itu bagai duit.
Berapa banyak boleh simpan dalam akaun??

Kalaulah nafsu itu punya bentuk dan rupa.
dan syaitan ada di sebelah kita dalam wajah tersendiri.
adakah kita akan berkawan dengan mereka?
atau takut dan memusuhi mereka?
atau kita tetap jadi lagi teruk dari syaitan..
(tetap sama seperti biasa kita buat)

Kalaulah, Muhammad hidup bersama kita
adakah kita layan baginda selayaknya sebagai seorang nabi..
malu berbuat dosa depan mata banyaknya bertimbun-timbun.
Malu dengan syirik dan khurafat yang kita buat.
malu sebab tinggalkan risalah baginda.
malu bergaduh sesama Islam padahal kita dah tahu kita saudara.
hanya sebab kuasa, ideologi dan harta.

Padahal dah tahu tak bawak ke manapun harta berlambak sedunia!!
Padahal dah tahu pegangan kita sama!!
Padahal dah tahu pangkat dan jawatan tak mampu membeli ampunan dari Tuhan!!

Kalaulah kita nampak syurga dan neraka.
Tempat dan rupa nya bagaimana.
Apa ada dalam syurga.
Apa isi dalam neraka.
dan setiap ahmad, abdullah dan arrijal dicop dia munafiq, kufur, islam atau beriman...
masihkah aku dan kau lari dari tanggungan amalan..
masihkah kita berdalih dan beralasan??

Kalaulah Allah menampak kan wajahNya pada kita
masihkah kita sanggup syirikkan dia?
agungkan cinta manusia lagi tinggi dari cinta Dia!!

Berkalau-kalau tu amalan syaitan..
tapi "kalau" yang ini aku tulis untuk keluarkan kau,
aku dan dia
dari terus teruk daripada syaitan

SOLAT YANG MERAWAT

Posted on 1:24 PM

HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh. Berita Minggu mendapatkan pandangan setiap pengkaji mengenai hasil kajian masing-masing.


Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas - Aktiviti Otot

Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan. Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.

"Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh," katanya.

Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh. Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenap pasti otot yang aktif ketika solat.

Ng Siew Chok - Isyarat Otak

Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.

"Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang," katanya

Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.

"Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah," katanya. Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.

Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak. Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

Dr Fatimah Ibrahim - Komposisi Tubuh

Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.

Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.

"Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain," katanya.

Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.

Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik. Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.

"Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.

"Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif," katanya.

Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang. Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan. Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.

Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat. Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.

Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.

"Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat," katanya.


Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit.

Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.

"Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus," katanya. Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung.

Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Bmdua/20081019084321/Article/index_html


Renungan Buat Isteri

Posted on 8:29 AM In:

Salam,
Selamat berkunjung kembali ke blog kami. Hari ini ruang tazkirah diisi dengan pengisian dari Wanita JIM Batu. Terimakasih di atas sumbangan.



Renungan Buat Insan Yang Dipanggil Isteri...

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Jika sekiranya aku berhak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang yang lain, nescaya aku menyuruh para isteri sujud kepada suaminya."

Hadis tersebut menerangkan betapa kepatuhan isteri terhadap suami amat diutamakan demi kebaikan sesebuah institusi keluarga, sesuai kedudukannya sebagai pemimpin rumah tangga.Demikian juga halnya ketika junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. mikraj ke langit, Baginda telah dipersaksikan dengan neraka dan penghuninya yang kebanyakkannya terdiri daripada kaum wanita.
Ali Karramallahu Wajhah berkata:
"Aku masuk ke rumah Nabi beserta Fatimah, aku mendapati baginda sedang menangis tersedu-sedan. Aku bertanya, "Ya Rasulullah, apa yang membuat anda menangis?" Baginda menjawab, "Ya Ali, pada malam aku diangkat ke langit, aku melihat kaum perempuan daripada umat ku disiksa di neraka dengan bermacam-macam seksaan. Lalu aku menangis kerana begitu berat seksaan mereka yang aku lihat."
Baginda antara lain melihat perempuan yang digantungkan dengan lidahnya, sedangkan air panas dituangkan ke dalam tenggoroknya kerana ia telah menyakiti dan menyumpah-nyumpah suaminya.
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda,
"Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada seorang isteri yang tidak bersyukur kepada suaminya."

Marilah kita sama-sama merenungi kisah anakanda kesayangan Nabi Muhammad s.a.w. iaitu Fatimah Az-Zahra yang melaksanakan rutin hariannya sebagai seorang suri rumah tangga secara sendirian tanpa pembantu. Fatimah pada suatu hari telah meminta suaminya, Ali pergi menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta jasa baik baginda untuk menyerahkan seorang wanita tawanan perang sebagai pembantu rumah. Rasulullah bagaimanapun tidak dapat memperkenankan permintaan puterinya kerana semua harta rampasan perang termasuk wanita-wanita itu bukan menjadi milik baginda, tetapi milik negara Islam dan kaum Muslimin seluruhnya. Baginda tidak dapat memberikan sesuatu yang bukan menjadi miliknya.Permintaan Fatimah itu membimbangkan baginda, bukan kerana tugas berat yang sedang dipikul oleh puterinya itu tetapi disebabkan oleh bayangan keluh kesah seorang isteri yang tertekan akibat tugas-tugas yang perlu dibereskannya.
Pada sebelah malamnya, baginda telah mengunjungi rumah Fatimah dan menyatakan kepadanya: "Apakah kamu berdua (Fatimah dan Ali) suka kepada satu pemberian yang akan ku berikan ini, sedangkan ia lebih baik daripada apa yang kamu minta siang hari tadi?"Fatimah amat sukacita mendengarkan tawaran tersebut sekalipun dia tidak mengetahui apa bentuknya. Rasulullah menyatakan kepada Fatimah bahawa hendaklah dia membaca Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar, masing-masing sebanyak 33 kali setiap kali sebelum tidurnya.
Semenjak itu, wirid yang diajarkan oleh Rasulullah telah menjadi amalan anak dan menantunya. Hasilnya, Fatimah mendapati dia tidak lagi menjadi keluh kesah dalam menghadapi apa jua kerja-kerja sehariannya yang berat, malah merasa cukup bahagia melakukannya. Baginya, segala tugasan yang disempurnakannya sebagai seorang suri rumah merupakan satu amalan yang solehah.

Dengan taufik Allah, sesungguhnya walau seberat mana sekalipun tugasan yang menanti di rumah, tidak akan memenatkan selagi isteri tidak meletakkan dirinya seolah-olah sama taraf dengan suami, walau setinggi mana sekalipun darjatnya.Kepada para suami, kita sama-sama maklum, dalam zaman moden yang serba mencabar ini terutamanya di bandar-bandar besar, kita tidak dapat mengelak kos sara hidup yang tinggi sekali gus memerlukan kedua-dua suami isteri keluar bekerja.
Si isteri telah melakukan pengorbanan mencari rezeki tambahan untuk menyara keluarga yang sepatutnya menjadi tanggungjawab suami. Jadi sudi apalah kiranya sang suami bersama-sama meringankan tugas si isteri seadanya. Bukankah Rasulullah s.a.w. telah berpesan supaya para suami berbuat baik kepada isteri mereka. Jikalau isteri taat kepada kalian, janganlah pula menyusahkan mereka.
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang ertinya:
"Orang-orang yang terbaik daripada kamu sekalian adalah yang lebih baik dalam mempergauli keluarganya dan saya adalah yang terbaik dalam mempergauli keluargaku."

Mati Itu Adalah Benar

Posted on 12:10 PM In:


Pengunjung yang budiman, Perkongsian tazkirah dari Ketua Wanita JIM KL , Dr Niekmah Adam.

Dengan nama suci Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Maha Suci Allah Tuhan yang Maha Gagah, Maha Tunggal, Maha Kuasa dan Maha Kekal Abadi. Allah telah berkuasa memati dan membinasakan hambaNya untuk menilai kedudukan amal bakti, siapakah di antara kamu yang lebih berjasa. Sesungguhnya amal usaha kamu itu kelak (pada hari akhirat) akan diperlihatkan.

Segala sesuatu pasti akan binasa, kecuali zat Allah, Tuhan yang Maha Esa. Segala amalan kamu semasa hidup akan dibicarakan.

Setiap yang bernyawa pasti akan mati. Sesungguhnya balasan pahala kamu akan disempurnakan pada hari akhirat nanti. Sesiapa yang dapat mengelakkan dirinya daripada neraka, maka dialah orang yang berjaya. Sesungguhnya kehidupan di dunia ini hanya sementara dan penuh tipu daya.

Daripada tanah kamu dijadikan, untuk mencari ganjaran dan pahala. Ke dalam tanah kamu akan dikeluarkan untuk menjadi habuan ulat dan cacing. Ingatlah, daripada dalam tanah ini, suatu ketika kelak kamu akan dibangkitkan.

Dengan nama Allah, dengan keagungan Allah, bermula daripada Allah, berbalik kepada Allah dan atas agamaMuhammad Rasulullah, inilah dia kiamat iaitu suatu yang telah dijanjikan oleh Allah dan Rasul itu adalah benar. Sesungguhnya kiamat itu berlaku tempikan yang sekali sahaja, maka dengan tiba-tiba manusia itu semuanya mati.

Wahai hamba Allah,… anak kepada…,

Selamat tinggal buat selama-lamanya. Kami serahkan kamu kepada Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Semoga kamu dikurniakan rahmat Allah, sekarang kamu telah berada di alam barzakh. Oleh yang demikian, janganlah kamu lupa ikatan janji taat setiamu yang ada semasa kamu meninggalkan kami untuk menuju ke alam Akhirat. Pengakuan itu: “bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Nabi Muhammad itu pesuruh Allah”.

Apabila tiba dua malaikat sebagai wakil daripada Allah untuk menyoal kamu dan orang lain yang telah mati seperti kamu, maka janganlah kamu terkejut atau gerun, kerana kedua-duanya itu sama seperti kamu. Mereka adalah makhluk Allah. Apabila kedua-duanya bertanyakan kamu: “Siapakah Tuhan kamu? Siapa Nabi kamu? Apakah Agama kamu? Apakah ikutan kamu? Apakah kiblat kamu? Siapakah dia saudara kamu? Apakah keyakinan kamu semasa kamu mati?”

Maka kamu jawablah: “Allah Tuhanku, Muhammad Nabiku, Islam agamaku, Al-Quran ikutanku, Baitullah kiblatku, orang-orang Islam adalah saudaraku. Aku telah hidup, malah telah pun mati, tetapi aku tetap dengan pengakuan bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu pesuruh Allah”.

Peganglah wahai hamba Allah dengan keterangan ini. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya engkau akan tetap tinggal di alam barzakh, sehingga ke suatu masa apabila sekalian penghuni kubur dibangkitkan kerana dibicarakan di hadapan Tuhan.

Ketahuilah wahai hamba Allah, bahawa sesungguhnya mati itu benar, masuk ke liang kubur benar, soalan Munkar dan Nakir adalah benar. Bangkit semula daripada kubur adalah benar; perbicaran kerana mengira amalan baik dan buruk adalah benar. Meniti sirat untuk menentukan ke syurga atau ke neraka adalah benar. Syurga dalah benar. Neraka adalah benar. Sesungguhnya hari Kiamat tetap kan tiba tanpa ragu-ragu lagi. Maka Allah akan menghidupkan sekalian manusia.

Semoga Allah tetapkan kamu dengan perkataan yang benar. Wahai jiwa yang tenang dan tenteram, kembalilah kamu kepada Tuhanmu dalam keadaan meredai dan diredai. Masuklah kamu ke dalam golongan hamba-hambaKu yang soleh dan masuklah kamu ke dalam SyurgaKu.

Kematian adalah satu keadaan roh akan terpisah daripada badan. Roh akan kembali kepadaNya. Manakala badan yang berasal daripada tanah, akan dikuburkan ke dalamnya. Sakaratul maut akan menemui kita sebelum kita mati. Di saat kita akan mula, kita akan menghadapi kesakitan yang tidak dapat digambarkan. Kita akan menghadapi ujian Allah yang paling getir, untuk menentukan samada kita akan menghadapi husnul khatimah atau su’ul khatimah. Justeru ini kita jangan lupa membaca doa itu setiap kali selepas solat:

“Wahai Tuhan kami, akhirkanlah kehidupan kami dengan kesudahan yang baik. Jangan berikan kami kesudahan yang buruk. Wahai Tuhan kami, permudahkanlah kami menghadapi sakaratul maut dan lepaskanlah kami daripada api neraka”.

1) Para Ulama’ berkata: “Sesiapa yang mengharapkan sesuatu, dia hendaklah berusaha mendapatkannya. Sesiapa yang takutkan sesuatu dia hendaklah berusaha melarikan diri darinya. Sesiapa yang mengharapkan keampunan dalam keadaan terus menerus melakukan dosa, dia adalah orang yang terpedaya”

2) Hendaklah kita ketahui walaupun rahmat Allah Maha luas, namun azabNya adalah terlalu pedih. Dia juga telah menakut-nakutkan dengan azab sekeras-kerasnya. Kenapa kita masih tidak merasa takut?

3) Moga kita tidak tergolong di dalam golongan yang terpedaya kerana menyangka ketaatan yang dilakukan adalah lebih banyak daripada maksiat. Keadaan adalah sama seperti seorang yang meminta keampunan dari Allah dengan beristighfar dan bertasbih setiap hari, tetapi menghabiskan sepanjang hari dengan percakapan dalam perkara yang ditegah. Kita hanya melihat kelebihan beristighfar dan bertasbih tetapi pada masa yang sama tidak nelihat hukuman atau akibat dosa mengumpat dan percakapan dalam perkara yang di tegah.

Wallahualam



Kekuatan Iman Dalam Menghadapi Kemelut Kehidupan

Posted on 4:06 PM In:
Photobucket

Kehidupan kita secara beransur-ansur akan berubah. Masuk ke alam kerjaya. Ada keluarga dan anak-anak. Kenalan semakin meluas dan pelbagai ragamnya.Keperluan kewangan semakin meningkat. Tanggungjawab semakin berat. Semua pihak mula menuntut sesuatu dari kita; dari ibu bapa,anak-anak, suami atau isteri, majikan, , rakan-rakan, kenalan dan sebagainya. Usia pula semakin menua, sekali gus menjadikan jasad tidak selincah dulu.

Hari-hari yang dilalui diharapkan semakin mudah, tetapi rupa-rupanya ia tidak berlaku sedemikian. Sebaliknya kita semakin susah. Terlalu banyak perkara di dalam kehidupan ini yang menguji dan menambah tekanan. Sebelum ini kita mungkin tertekan dengan study dan exam. Rupa-rupanya alam kerjaya tanpa study dan exam jauh lebih berat dan lebih mencabar. Sebelum ini kita mungkin tertekan kerana hidup seorang diri tanpa pasangan hidup. Rupa-rupanya alam rumahtangga menyelesaikan sebahagian masalah tetapi mengundang masalah lain yang lebih besar. Semasa bergaji kecil, kita berasa tertekan lalu berusaha untuk mendapatkan pendapatan yang lebih besar. Dapat pendapatan besar, lain pula bentuk tekanannya. Inilah hakikat kehidupan. Kehidupan di dunia adalah ujian dan tekanan. Inilah kenyataan yang perlu diterima sebaiknya.

"Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya)." (Al-Balad: 4)

Al-Hasan menafsirkan kesulitan dan kesukaran itu: "Kerana manusia akan menghadapi musibah di dunia dan kesulitan di akhirat."

Hadapi dan Tinggikan Martabatmu di Sisi Allah

Kita berada di alamNya. Kepatuhan kepada Allah bererti kita mesti menerima peraturanNya.

"Dialah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat)." (Al-Mulk: 2)

Imam al-Mawardi menafsirkan 'siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya' sebagai 'siapakah di kalangan kamu yang lebih redha terhadap ketentuan Allah dan lebih sabar terhadap ujianNya'. Jangan sesekali menyalahkan takdir. Allah Maha Adil untuk menzalimi manusia.

"dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya. " (Fussilat: 46)

Yakinlah bahawa segala yang berlaku adalah dengan takdir Allah. Allah mengkehendaki berlakunya kepayahan dan kesusahan di dalam hidup. Semua itu untuk mengangkat martabat manusia. Lebih tabah kita menghadapinya, lebih tinggi martabat kita di sisi Allah. Kehidupan generasi awal membuktikan hakikat ini. Mereka diuji dengan pelbagai ujian dalam kehidupan.

Saidina Osman r.a. diuji dengan kematian satu demi satu isterinya (kedua-duanya adalah anak Rasulullah s.a.w.). Rasulullah s.a.w. memujuknya ketika beliau berada di kemuncak kesedihan pulang dari majlis pengkebumian: "Jika aku mempunyai yang ketiga (anak perempuan lain yang masih belum berkahwin) akan ku kahwini denganmu." Tetapi Rasulullah s.a.w. tidak ada lagi anak perempuan lain dan Saidina Osman r.a. tabah menerima hakikat itu.

Saidina Omar r.a. diuji dengan kemarau dan wabak penyakit yang menimpa negara Islam selama bertahun-tahun. Kulit Saidina Omar r.a. yang asalnya berwarna putih kemerah-merahan bertukar gelap disebabkan kekurangan makan dan minum. Umat Islam ketika itu menangisi keadaan dan kesulitan yang dihadapi oleh Khalifah mereka tetapi Saidina Omar r.a. terus bertekad untuk menjadi manusia yang paling sedikit makan dan minum di kalangan umat Islam sepanjang krisis ini berlaku.

Kenapakah manusia yang berjasa kepada umat Islam juga diuji dengan ujian hidup? Kerana kecintaan Allah kepada mereka. Mereka menghadapi semua itu dengan tabah lalu Allah mengangkat martabat mereka di sisiNya. Kemudian mereka diuji lagi dengan ujian yang lebih besar, mereka menghadapinya dan martabat mereka akan semakin tinggi. Demikian pusingan kehidupan.

Begitulah Kita

Hadapilah ujian hari ini dengan tabah. Bersedialah untuk ujian seterusnya yang lebih besar. Jadilah orang yang kuat untuk menghabiskan baki kehidupan. Moga Allah menempatkan kita di kedudukan yang tinggi di akhirat kelak.


Sumber


Huraian Al-Quran tentang Nusyuz Suami dan Isteri

Posted on 3:29 PM In: ,

Pengunjung yang budiman, Selalunya yang di dengari adalah isteri Nusyuz, jarang kita dengar suami yang nusyuz. Semasa Wacana Wanita & Keadilan Syariah yang telah diadakan tempohari , kertas kerja Ustaz Alias Othman yang bertajuk "Huraian Al Quran tentang Nusyuz suami dan isteri : Pengertian dan penyelesaiannya" telah membincangkan topik dengan panjang lebar. Berikut adalah sedutan dari kertas kerja Ustaz Alias.

1.1.Adakah Istilah nusyuz hanya kepada isteri ?

Sekalipun nusyuz suami sudah dirakamkan dalam Quran dan perkataan nusyuz telah lama dikenali dalam masyarakat Melayu Islam di Malaysia namun istilah ini masih digunakan khusus merujuk kepada isteri yang ingkar dan derhaka kepada suami. Istilah ini tidak digunapakai kepada suami. Malah kalau ada orang mengakatakan ‘suami nusyuz’, dia dianggap ganjil. Keadaan ini bukan berhenti di situ sahaja, malah ia berlanjutan kepada persoalan amalan, di mana hanya wanita sahaja yang dianggap nusyuz, lelaki tidak dianggap nusyuz. Akibatnya banyak kezaliman berlaku ke atas isteri dan ramai suami yang terlepas daripada beban atau hukuman yang sepatutnya mereka tanggung.

Kertas ini berusaha merungkai isu ini dan cuba meyakinkan masyarakat, terutama para suami dan isteri bahawa nusyuz bukan sahaja berlaku oleh isteri, tetapi juga berlaku oleh suami. Dengan itu diharapkan semua pihak dapat bertindak seperti yang sewajarnya bagi mendapatkan keadilan kepada semua pihak.

Penulis berusaha sedaya mampu mempastikan semua pandangan dalam kertas ini dirujuk kepada kitab-kitab tafsir dan penulisan fiqh. Paling kurang ia adalah pandangan yang dirumuskan daripada beberapa penulisan, bukan pandangan peribadi penulis sendiri.

1.2. Seimbas tentang Sistem Keluarga Islam

Sistem Kekeluargaan Islam, satu sistem yang menyusun institusi keluarga, menjelaskan semua urusan di dalamnya, menentu dan mengagihkan bidang tugas, menentukan tanggungjawab anggota keluarga, menjelaskan prosedur-prosedur yang mesti dipatuhi dalam melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab. Allah yang mencipta manusia telah mencipta bersamanya fitrah ingin berpasangan seperti makhluk-makhluk lain ciptaan Allah:

ومن كل شىء خلقنا زوجين لعلكم تذكرون – الزاريات 49

زين للناس حب الشهوات من النساء والبنين – آت عمران 14

Kemudian Allah menjadikan pasangan manusia terdiri daripada dua bahagian yang dicipta daripada satu jasad, iaitu jasad Adam as.

يا أيها الناس اتقوا ربكم الذى خلقكم من نفس واحدة وخلق منها زوجها – النساء 1

Seterusnya Allah mahu pertemuan pasangan dari jasad Adam ini akan membawa kepada ketenangan jiwa, ketenangan saraf, kedamaian ruh dan kerehatan jasad.

ومن آياته أن خلق لكم من أنفسكم أزواجا لتسكنوا إليها وجعل بينكم مودة ورحمة – الروم 21

Seterusnya pasangan ini akan saling menjadi perisai yang saling melindungi antara semua anggota keluarga. Ia digambarkan dengan pakaian yang melindungi jasad dan melindungi keluarga daripada azab neraka.

هن لباس لكم وأنتم لباس لهن –البقرة187

يا أيها الذين آمنوا قوا أنفسكم وأهليكم نارا وقودها الناس والحجارة – التحريم 6

Akhirnya pasangan ini menjadi institusi yang akan mengembangbiakkan zuriat dan keturunan Adam, mendidik dan membangun insan saleh dan musleh yang bertindak menjadi khalifah Allah. Ia berperanan memakmurkan bumi Allah untuk manfaat makhluk Allah yang bernama manusia.


نساؤكم حرث لكم فأتوا حرثكم أنى شئتم وقدموا لأنفسكم واتقوا الله – البقرة 223

كل مولود يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو يمجسانه أم ينصرانه

“Setiap anak dilahirkan dalam keadan fitrah (suci) Ibubapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani”.

Sebagai manusia pasangan anak Adam ini mendapat kemuliaan dan kedudukan yang sama rata di sisi Allah. Dari kemuliaan dan kesamarataan antara pasangan ini lahirlah satu doktrin hidup yang memberi penghormatan kepada wanita, persamaan hak dengan lelaki dari semua aspek: pahala, dosa, upah, hak milik, hak mewarisi harta, hak kebebasan peribadi madani dan hak-hak lainnya.

Pertemuan pasangan anak Adam ini sangat penting dalam membentuk sebuah institusi keluarga. Ada dua tanggungjawab berat yang mesti dipikul institusi ini.

Pertama; mewujudkan suasana ketenagan dan kedamaian jiwa seisi keluarga; sakinah, mawaddah dan rahmah, di samping menjadi perisai, pelindung dan pengawas..

Kedua; membekalkan masyarakat keupayaan untuk terus berkembang biak dengan cara yang sesuai dan setaraf dengan darjat manusia di samping mengangkat darjat manusia ke tahap kemuliaan paling maksima. Semua ini telah diperincikan dalam satu sistem yang lengkap; Sistem Kekeluargan Islam. Konsep kekeluargaan ini mengarahkan semua pihak kembali kepada hukum Allah; bukan hukum adat, budaya, nafsu, tindakbalas emosi atau kecenderungan peribadi.


1.3. Talak hak suami; khulu` hak isteri.

Sebagai tindakan menyediakan ubat sebelum sakit Sistem Keluarga Islam telah memberikan hak talak kepada suami sebagai penyelesaian terakhir kepada krisis dalam keluarga atau kerana dia tidak lagi mahu meneruskan kehidupan berumahtangga dengan isterinya, atas apa sebab jugapun. Namun jika dia menceraikan isteri bukan sebab nusyuz dia wajib membayar mut`ah perceraian. Untuk tujuan yang sama isteri diberikan hak khulu` atau tebus talak bagi membebaskan dirnya daripada suami jika dia tidak lagi mahu meneruskan kehidupan berumahtangga dengan suaminya atas apa sebab jugapun.

1.4. Qiwamah Dan Nusyuz.

Isu qiwamah suami ke atas isteri sangat berhubung rapat dengan nusyuz isteri. Ini kerana Islam telah memberikan hak qiwamah kepada lelaki, termasuk suami.

الرجال قوامون على النساء بما فضل الله بعضهم على بعض وبما انفقوا من أموالهم فالصالحات قانتات حافظات للغيب بماحفظ الله -النساء 34

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) dari sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang saleh ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri di belakang (pengetahuan) suaminya oleh kerana Allah telah memelihara ( mereka)”.

Qiwamah dalam arti kata kepimpinan perlu kepada kepatuhan dan ketaatan. Tiada erti pada qiwamah jika tiada ketaatan. Dalam konteks keluarga suami yang diberi hak qiwamah mestilah mendapat ketaatan daripada seisi keluarga, terutama isteri. Jika isteri ingkar, di sinilah timbulnya isu nusyuz. Ketaatan kepada suami bukan atas dasar ketinggian darjat dan kedudukan suami berbanding isteri, tetapi atas dasar qiwamah.

Berbagai pendapat dikemukakan cendekiawan Islam mengenai maksud qiwamah dalam ayat ini. Semua penjelasan ini menyimpulkan qiwamah bukan berdasarkan kuasa, ketinggian darjat dan kedudukan lelaki berbandig wanita, tetapi atas dasar potensi, tabiat semulajadi, tanggungjawab, ehsan dan timbangrasa.

Menurut al-Maududi, ayat ini dengan terus terang memberikan qiwamah kepada lelaki di samping menyatakan dua sifat istimewa wanita salihah: taat قانتات dan memelihara rahsia suami حافظات للغيب . Menurut beliau qiwamah ini tidak terbatas kepada qiwamah dalam keluarga sahaja, malah termasuk qiwamah ke atas siasah dan politik negara. Quran tidak membataskan qiwamah ini ke atas wanita dalam keluarga sahaja. Quran tidak menyebutkan perkataan ‘rumah’ (البيوت) dalam ayat ini. (Maududi, Tadwin al-Quran 70 – 71)

Menurut al-Zamakhsyari, lelaki memiliki qiwamah ke atas wanita kerana kelebihan yang diberikan Allah. Menurut beliau ayat ini menjadi dalil bahawa hak ke atas wilayah (kuasa memimpin dan melindungi) hanya boleh didapati melalui kelebihan, bukan melalui kemenangan, kuasa dan paksaan. (al-Kassyaf:1:266)

Menurut al-Qurtubi, di kalangan lelaki ada para hakim, pemerintah dan mereka yang berperang. Semua itu bukan bagi wanita.(op.cit, 5:168). Tentang kelebihan lelaki, selain ayat di ata ada ayat-ayat lain yang menjelaskan kelebihan ini, antaranya firman Allah:

قوا أنفسكم وأهليكم نارا وقودها الناس والحجارة – التوبة 6

Ayat ini langsung dan terus terang memerintahkan lelaki melindungi keluarga daripada siksa neraka.

ولهن مثل الذى عليهن بالمعروف وللرجال عليهن درجة – البقرة 228

Menurut al-Tabari, maksud darjat yang Allah berikan kepada lelaki ke atas wanita ialah Allah memberi kelebihan kepada mereka dalam pusaka, jihad dan yang seumpamanya. Al-Tabari menukilkan bahawa Zaid bin Aslam menjelaskan maksud ‘darjat’ dalam ayat ini ialah ‘imarah’. Dalam versi lain beliau menyatakan ayat ini bermaksud: wanita mentaati lelaki, bukan lelaki mentaati wanita. (al-Tabari, Tafsier al-Tabari 4:534)

ولا تتمنوا ما فضل الله به بعضكم على بعض للرجال نصيب مما اكتسبوا وللنساء نصيب مما اكتسبن – النساء 32

Menurut Dr. Abdul Wahab al-Syisyani (Huquq al-Insan Wa Huriyatihi al-Asasiyah 69) ayat ini menunjukkan kelebihan lelaki adalah berdasarkan potensi semulajadi dan pembahagian tugas antara lelaki dan wanita.

Oleh kerana suami diberikan qiwamah dalam keluarga maka apa sahaja krisis yang berlaku dalam keluarga orang pertama dipersoalkan ialah suami, kerana dia yang memimpin dan mengendalikan keluarganya, selepas itu barulah isteri dan isi keluarga yang lain. Inilah mahar qiwamah dan kelebihan yang diberikan Allah kepadanya.

Jelas bahawa qiwamah dan kelebihan lelaki dalam konsep yang dikemukakan adalah ketentuan dari Allah kepada manusia atas hikmat yang hanya Dia mengetahuinya. Oleh itu mempertikaikan qiwamah dan kelebihan ketentuan Ilahi ini adalah suatu yang tidak normal kepada pegangan iman seorang muslim.

2. Asal Perkataan Nusyuz.

Istilah nusyuz dipinjam dari Bahasa Arab. Perkataan asalnya ialah al-nasyzu النشز bermaksud tempat yang tinggi. Perkataan nusyuz نشوز bererti berada di tempat yang tinggi. Isteri yang nusyuz ialah isteri yang ingkar kepada suaminya dan membangkitkan kemarahannya. Nusyuz suami apabila dia memukul isterinya atau bersikap dingin dan acuh tak acuh terhadapnya. ( Fairuz al-Abadi: Qamus al-Muhit 678) .

Kesesuaian pengertian ini dengan nusyuz isteri atau suami ialah: isteri atau suami yang nusyuz meletakkan dirinya di tempat yang tinggi dengan ingkar kepada perintah Allah yang diwajibkan ke atasnya terhadap suami atau isterinya. Ini akan dapat dilihat nanti selepas maksud nusyuz isteri atau suami itu dijelaskan.

3. Nas Quran Berkaitan Nyusyuz.

Ada dua nas Quran yang secara langsung menyebutkan nusyuz isteri dan suami. Pertama menyatakan nusyuz isteri. Kedua menyatakan nusyuz suami.

3.1. Nusyuz isteri.

واللتى تخافون نشوزهن فعظوهن واهجروهن فى المضاجع واضربوهن فإن أطعنكم فلا تبغوا عليهن سبيلا – النساء 34

Dan wanita-wanita yang kamu bimbang nusyuznya maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah diri dari tempat tidur mereka dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya”.

3.2. Nusyuz suami.

وإن امرأة خافت من بعلها نشوزا أو اعراضا فلا جناح عليهما أن يصلحا بينهما صلحا والصلح خير – النساء 128

“Dan jika seorang wanita bimbang akan nusyuz atau sikap tidak acuh dari suaminya maka tidak mengapa bagi kedua-duanya mengadakan suluh yang sebenar-benarnya dan suluh itu lebih baik (bagi mereka)

4. Nusyuz Isteri.

Nusyuz isteri disebut dalam ayat 34 surah al-Nisa’ di atas. Nusyuz dalam ayat ini bererti derhaka atau ingkar. Oleh itu maksud ayat ini ialah: sekiranya kamu bimbang kederhakaan dan sikap meninggi diri mereka (isteri) daripada mematuhi apa yang diwajibkan Allah ke atas mereka, iaitu mentaati suami, maka ……”. ( Al-Qurtubi: al-Jami`e Li Ahkam al-Quran 5:170)

Nusyuz ialah kederhakaan dan meninggi diri wanita dari mematuhi apa yang diwajibkan Allah ke atas mereka, seperti taat kepada suami. (ibid 5:170). Isteri menimbulkan kemarahan suami (ibid 5:71)

Bagi Prof. Dr. Wahbat al-Zuhaili nusyua isteri ialah kederhakaan wanita terhadap suami dalam perkara yang diwajibkan ke atasnya, sikap saling membenci antara keduanya dan keluar rumah tanpa izin suami. (al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu 7:338) . Isteri meninggalkan rumah dengan tiada sebab syari`e yang membolehkan atau menghalang suaminya memasuki rumahnya sebelum suami memintanya berpindah ke rumah lain (Zuhaili: op.cit 7:790, Dr. Abd Karim Zaidan, al-Mufassal Fi ahkam al-Marah 7:161)


Perempuan nusyuz ialah perempuan yang meninggi diri daripada suaminya, meninggalkan perintahnya, menjauhkan diri daripadanya, mengelak diri dari suaminya, menyebabkan suaminya marah. (Dr, Muhammad `Uqlah: Nizan al-Usrah Fi al-Islam 2:179. al-Sayuti: al-Dur al-Mantsur Fi Tafsir al-Ma’tsur 2:521. Ibn Katsir: Tafsir al-Quran al-Azim 1: 492. Abd. Rasyid Reda, Tafsir al-Manar 3:72-73) . Pandang rendah terhadap suami, tidak mentaati perintahnya. (ibid)

4.1. Bila isteri dianggap nusyuz.

Isteri dianggap nusyuz apabila tanda-tanda nusyuz. Nusyuz isteri ditandai oleh dua perkara. Pertama melalui perbuatan dengan menjauhkan diri, bermasam muka dan enggan ketika dipanggil. Semua ini berlaku setelah sebelumnya dia bersikap mesra. Kedua melalui perkataan seperti berintraksi dengan suamu dengan perkataan yang kasar, ia berlaku setelah sebelumnya dia bercakap lembut. (Prf. Dr. Wahbat al-Zuhaili: op.cit 7:338).

Huraian-huraian ini cukup untuk memahamkan kita maksud nusyuz isteri.


4.2. Isteri salihah tidak nusyuz.

Sekiranya isteri itu tergulung dalam lingkungan wanita salihat dia tidak akan nusyuz. Ayat di atas menyatakan wanita salihah ialah yang taat قانتات kepada Allah, memelihara diri dengan tidak berlaku curang, menjaga rahsia dan harta suaminya حافظات للغيب , kerana Allah telah memelihara mereka. (34 al-Nisa’)


4.3. Tindakan suami jika isteri nusyuz.

Jika isteri nusyuz suami mestilah melakukan tindakan-tindakan berikut: bersabar menghadapi karenah isteri, memberi nasihat, pisahkan tempat tidur, memukul. Jika tidak berjaya, krisis itu dirujuk kepada hakam untuk mencari penyelesaian. Jika ini juga tidak berhasil pilihan terakhir suami, jika dia mahu, ialah menceraikan isterinya dengan talak satu. (34 al-Nisa’)


Perlu diingat sebelum menasihati isteri suami sepetutnya terlebih dahulu mengkoreksi dan melakukan muhasabah diri, mencari di mana kelemahan dan kesalahan diri. Inilah yang adil bagi isteri dan bijak bagi seorang yang diberikan qiwamah dan kelebihan oleh Allah.


5. Nusyuz Suami.

Nusyuz suami disebut dalam ayat 128 surah al-Nisa’ yang telah dinukilkan di atas.

Berbagai-bagai versi riwayat yang menjelaskan latarbelakang ayat ini diturunkan, antara lain ialah kebimbangan Saudah Binti Zam`ah dia akan diceraikan Rasulullah saw, lantas dia berkata kepada Baginda saw: “janganlah ceraikan saya, kekalkanlah saya (sebagai isteri). Dan berikanlah satu hari giliran saya kepada `Aisyah”. Rasulullah saw menerima tawaran tersebut lalu ayat ini diturunkan. (al-Qurtubi, op.cit 5:402).


Menurut Ibn Abi Malikah ayat ini menolak pandangan sesetengah orang bahawa apabila seorang lelaki telah menghabiskan usia muda seorang wanita dan setelah tua lelaki terbabit tidak lagi berhak menggantikannya dengan wanita lain (Ibn `Arabi, Ahkam al-Quran.1:504, Qurtubi, op.cit 5:404). Beliau melihat isu ini positif kerana Allah telah memberi satu jalan keluar di saat tiada pilihan bagi lelaki yang tidak lagi mahu mengekalkan status isterinya sebagai isteri.


Sewaktu ditanya mengenai maksud ayat ini Ali karramalLahu wajhah berkata: seorang lelaki punya perempuan di bawah tanggungannya (isteri), dia tidak lagi tertarik kepadanya oleh kerana susuk tubuhnya, usianya yang telah tua, akhlaknya yang buruk atau kecacatannya. Wanita itu tidak mahu dia diceraikan, jika dia memberikan kepada suaminya sesuatu, harta atau hari gilirannya dia boleh melakukannya”. (Said Hawa, al-Asas Fi al-Tafsir 2:1195).


Dalam ayat ini terdapat dua istilah: nusyuz نشوز dan `ie’radh اعراض . Nusyuz bermaksud mengabaikan isteri dengan menghalang dirinya daripada isteri, tidak memberi nafkah, menyakitinya dengan maki hamun atau memukulnya. `ie’radh kurang bercakap dan bermesra dengan isteri disebabkan usianya yang telah tua, susuk tubuhnya yang tidak lagi menarik, buruk akhlak, jemu atau ingin mencari yang lain. (said Hawa, ibid 2:1194)


Dalam mentafsirkan ayat ini al-Qurtubi menjelaskan bahawa sekiranya isteri berpendapat suaminya akan bersikap nusyuz (ingkar dan menjauhkan diri) atau ‘ie`radh (tidak bertegur sapa dan tidak bermesra) dia bolehlah menawarkan suluh kepada suaminya. Suluh boleh berlaku melalui tawaran isteri dengan menggugurkan sebahagian haknya sebagai ganti daripada dia diceraikan. Suluh juga berlaku melalui tawaran oleh suami untuk memberikan kepada isterinya kadar tertentu harta sebagai ganti dia melebihkan isteri lain (al-Qurtubi, op.cit 5:423-424)


Isunya, jika isteri menawarkan suluh dan dierima suami atau suami menawarkan suluh dan diterima isteri. Namun jika isteri tidak menawarkan suluh atau isteri tidak menerima tawaran suluh suami dan isteri juga tidak nusyuz, dalam keadan ini suami wajib berlaku adil dan memberikan semua hak isteri dan melaksanakan semua kewajipannya sebagai suami.


Dari perbincangan ini dapat dirumuskan bahawa suami juga melakukan nusyuz. Suami dianggap nusyuz apabila dia cuai dalam melaksanakan kewajipan rumahtangga. Menurut Muhammad Qutb dan Dr. Muhammad `Uqlah kalau isteri dianggap telah nusyuz apabila dia derhaka kepada suami, tidak menunaikan kewajipan dan keluar rumah tanpa izin suami maka suami juga boleh dianggap telah nusyuz apabila dia enggan memberi nafkah kepada isteri. (Muhammad Qutb, Syubhat Haula al-Islam 128 dan Dr. Muhammad `Uqlah, Nizam al-Usrah Fi al-Islam 2:184)


Dr. Mustafa al-Khin menganggap suami nusyuz apabila pengabaian dan keengganan berlaku di dipihak suami dengan dia tidak menunaikan giliran, tidak memberi nafkah, bertindak kasar dengan perkataan atau perbuatan. (Mustafa al-Khin dan Dr. Mustafa al-Bugha, al-Fiqh al-Manhaji2;105).

Penjelasan-penjelasan ini cukup untuk meyakinkan kita bahawa suami juga berlaku nusyuz dan memahamkan kita apa maksud nusyuz suami.


5.1. Bila suami dianggap nusyuz.

Suami nusyuz bolehlah ditakrifkan sebagai: suami yang enggan menunaikan hak spiritual, material atau bertindak kasar terhadap isteri. Hak spiritual isteri ialah komunikasi yang baik, memenuhi kepuasan seksual, memberi pendidikan agama, dicemburui dan adil antara para isteri, tidak dihina dan dikasari. Hak material isteri ialah maskahwin, nafkah dan mut`ah jika berlaku perceraian tanpa nusyuz isteri. (al-Qurtubi, op.cit 5:422-324, Dr. Muhamad `Uqlah, op.cit 2:84, Muhammad Qutb, Syubhat Haula al-Islam 124).


5.2. Tindakan isteri jika suami nusyuz.

Jika suami nusyuz isteri mestilah bersabar. Memperingatkannya tentang kewajipan husnu al-mu`asyarah seperti disedut dalam ayat 18 surah al-Nisa’ وعاشروهن بالمعروف . Memperingatkannya hadis Rasulullah yang menyatakan lelaki yang paling baik ialah suami yang paling baik terhadap isterinya خيركم خيركم لأهله وأنا خيركم لأهله. Memperingatkannya tentang akibat kezalimannya terhadap Isteri.


Jika ini tidak berjaya isteri berhak membawa kesnya kepada kadi untuk dia mendapatkan semua haknya, kerana kadi dilantik untuk mengembalikan hak kepada yang empunya hak dan kerana isteri tidak berdaya mendapatkan haknya tanpa kuasa kadi. Kadi bertanggungjawab memaksanya menyempurnakan hak isteri dan menghentikan kezalimannya. Jika ini juga tidak berhasil dan suami masih meneruskan nusyuznya dan bertindak memukul dan memaki hamun kadi hendaklah menjatuhkan hukuman taazir ke atasnya. Jika ini juga tidak berhasil hakam hendaklah dilantik bagi berusaha melakukan suluh. Jika usaha suluh juga gagal, penyelesaian terakhir ialah cerai.


Itu dia pengunjung yang dirahmati Allah, sedikit penerangan mengenai nusyuz suami dan isteri. Sudah tentu artikel yang ditulis Oleh Ustaz Alias Othman ini dapat mencerahkan lagi pengetahuan kita tentang hukum-hakam dalam sistem keluarga Islam.

Semoga di rahmati Allah.



:: DEMI MASA ::


:: VISI ::

Menjadi pemimpin wanita yang fundamental, komtemporari dan profesional berasaskan Islam.

:: MISI ::

Wanita JIM mendokong misi JIM Pusat melalui:
  • -Sistem tarbiah dan pembangunan sumber manusia yang mantap
  • -Ilmu dan kemahiran yang berpandukan asas yang sahih
  • -Organisasi yang tersusun.

:: HIWAR ::


ShoutMix chat widget


:: WANITA GEMILANG ::

Lagu Wanita Gemilang

Lembut dan sopan gerak langkahmu
Lambang mu'minah dan kewanitaan
Tangkas menyahut cabaran waktu
Ciri-ciri wanita gemilang

Dalam kelembutan ada semua
Keyakinan dan sifat kepimpinan
Dalam keluarga dan rumah tangga
Engkau isteri dan ibu teladan

Mesra ceria di dalam bekerja
Kemas ikhlas dalam persatuan
Membawa Islam kita mengorak langkah
Wanita JIM bersama masyarakat


Berserah pada Allah
Yakini Rasulullah
Peribadi solehah
Berbakti pada insan
Suburkan kasih sayang
Kekalkan kemesraan

Mari sambut seruan
Mari berpimpin tangan
Kita mara ke depan
Teruskan perjuangan
Didik anak warisan
Pemimpin yang beriman

:: TETAMU ::

Followers