Pengunjung yang budiman, Perkongsian tazkirah dari Ketua Wanita JIM KL , Dr Niekmah Adam.

Dengan nama suci Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Maha Suci Allah Tuhan yang Maha Gagah, Maha Tunggal, Maha Kuasa dan Maha Kekal Abadi. Allah telah berkuasa memati dan membinasakan hambaNya untuk menilai kedudukan amal bakti, siapakah di antara kamu yang lebih berjasa. Sesungguhnya amal usaha kamu itu kelak (pada hari akhirat) akan diperlihatkan.

Segala sesuatu pasti akan binasa, kecuali zat Allah, Tuhan yang Maha Esa. Segala amalan kamu semasa hidup akan dibicarakan.

Setiap yang bernyawa pasti akan mati. Sesungguhnya balasan pahala kamu akan disempurnakan pada hari akhirat nanti. Sesiapa yang dapat mengelakkan dirinya daripada neraka, maka dialah orang yang berjaya. Sesungguhnya kehidupan di dunia ini hanya sementara dan penuh tipu daya.

Daripada tanah kamu dijadikan, untuk mencari ganjaran dan pahala. Ke dalam tanah kamu akan dikeluarkan untuk menjadi habuan ulat dan cacing. Ingatlah, daripada dalam tanah ini, suatu ketika kelak kamu akan dibangkitkan.

Dengan nama Allah, dengan keagungan Allah, bermula daripada Allah, berbalik kepada Allah dan atas agamaMuhammad Rasulullah, inilah dia kiamat iaitu suatu yang telah dijanjikan oleh Allah dan Rasul itu adalah benar. Sesungguhnya kiamat itu berlaku tempikan yang sekali sahaja, maka dengan tiba-tiba manusia itu semuanya mati.

Wahai hamba Allah,… anak kepada…,

Selamat tinggal buat selama-lamanya. Kami serahkan kamu kepada Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Semoga kamu dikurniakan rahmat Allah, sekarang kamu telah berada di alam barzakh. Oleh yang demikian, janganlah kamu lupa ikatan janji taat setiamu yang ada semasa kamu meninggalkan kami untuk menuju ke alam Akhirat. Pengakuan itu: “bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Nabi Muhammad itu pesuruh Allah”.

Apabila tiba dua malaikat sebagai wakil daripada Allah untuk menyoal kamu dan orang lain yang telah mati seperti kamu, maka janganlah kamu terkejut atau gerun, kerana kedua-duanya itu sama seperti kamu. Mereka adalah makhluk Allah. Apabila kedua-duanya bertanyakan kamu: “Siapakah Tuhan kamu? Siapa Nabi kamu? Apakah Agama kamu? Apakah ikutan kamu? Apakah kiblat kamu? Siapakah dia saudara kamu? Apakah keyakinan kamu semasa kamu mati?”

Maka kamu jawablah: “Allah Tuhanku, Muhammad Nabiku, Islam agamaku, Al-Quran ikutanku, Baitullah kiblatku, orang-orang Islam adalah saudaraku. Aku telah hidup, malah telah pun mati, tetapi aku tetap dengan pengakuan bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu pesuruh Allah”.

Peganglah wahai hamba Allah dengan keterangan ini. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya engkau akan tetap tinggal di alam barzakh, sehingga ke suatu masa apabila sekalian penghuni kubur dibangkitkan kerana dibicarakan di hadapan Tuhan.

Ketahuilah wahai hamba Allah, bahawa sesungguhnya mati itu benar, masuk ke liang kubur benar, soalan Munkar dan Nakir adalah benar. Bangkit semula daripada kubur adalah benar; perbicaran kerana mengira amalan baik dan buruk adalah benar. Meniti sirat untuk menentukan ke syurga atau ke neraka adalah benar. Syurga dalah benar. Neraka adalah benar. Sesungguhnya hari Kiamat tetap kan tiba tanpa ragu-ragu lagi. Maka Allah akan menghidupkan sekalian manusia.

Semoga Allah tetapkan kamu dengan perkataan yang benar. Wahai jiwa yang tenang dan tenteram, kembalilah kamu kepada Tuhanmu dalam keadaan meredai dan diredai. Masuklah kamu ke dalam golongan hamba-hambaKu yang soleh dan masuklah kamu ke dalam SyurgaKu.

Kematian adalah satu keadaan roh akan terpisah daripada badan. Roh akan kembali kepadaNya. Manakala badan yang berasal daripada tanah, akan dikuburkan ke dalamnya. Sakaratul maut akan menemui kita sebelum kita mati. Di saat kita akan mula, kita akan menghadapi kesakitan yang tidak dapat digambarkan. Kita akan menghadapi ujian Allah yang paling getir, untuk menentukan samada kita akan menghadapi husnul khatimah atau su’ul khatimah. Justeru ini kita jangan lupa membaca doa itu setiap kali selepas solat:

“Wahai Tuhan kami, akhirkanlah kehidupan kami dengan kesudahan yang baik. Jangan berikan kami kesudahan yang buruk. Wahai Tuhan kami, permudahkanlah kami menghadapi sakaratul maut dan lepaskanlah kami daripada api neraka”.

1) Para Ulama’ berkata: “Sesiapa yang mengharapkan sesuatu, dia hendaklah berusaha mendapatkannya. Sesiapa yang takutkan sesuatu dia hendaklah berusaha melarikan diri darinya. Sesiapa yang mengharapkan keampunan dalam keadaan terus menerus melakukan dosa, dia adalah orang yang terpedaya”

2) Hendaklah kita ketahui walaupun rahmat Allah Maha luas, namun azabNya adalah terlalu pedih. Dia juga telah menakut-nakutkan dengan azab sekeras-kerasnya. Kenapa kita masih tidak merasa takut?

3) Moga kita tidak tergolong di dalam golongan yang terpedaya kerana menyangka ketaatan yang dilakukan adalah lebih banyak daripada maksiat. Keadaan adalah sama seperti seorang yang meminta keampunan dari Allah dengan beristighfar dan bertasbih setiap hari, tetapi menghabiskan sepanjang hari dengan percakapan dalam perkara yang ditegah. Kita hanya melihat kelebihan beristighfar dan bertasbih tetapi pada masa yang sama tidak nelihat hukuman atau akibat dosa mengumpat dan percakapan dalam perkara yang di tegah.

Wallahualam